17 November 2010

Moga Bermanfaat

1 comments
Pengalaman mendewasakan kita. Benar. Aku belajar melalui pengalaman. Pengalaman menempuh hidup penuh liku di tempat orang. Pengalaman melihat orang sekeliling yang taat perintah Allah. Tidak kurang juga yang melanggar perintahNya.

Berkumpul dengan mereka yang bijak pandai, membuatkan aku merasakan diri ini terlalu kerdil dan banyak kekurangannya. Benar, terlalu banyak kelemahan diri. Namun ia memotivasikan diri ini untuk terus melangkah jauh ke hadapan. Jauh hingga tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Berada lebih 300km di perantauan, membuatkan aku berdikari untuk meneruskan kehidupan di bumi bertuah IPIS. Jujur, terlalu berat bagiku untuk memikul nama 'ISLAM' yang menjadi kebanggaan penghuni institut ini. Ke mana-mana aku pergi, aku harus ingat bahawa aku seorang Islam. Menuntut ilmu di sebuah institusi yang menggunakan nama 'Islam'. Walau aku bukan dari jurusan Pengajian Agama, namun aku menyedari kepentingan membawa imej baik institut ke mata orang luar. Aku ingin mereka sedar bahawa ilmu Matematik juga adalah amanah dari Allah untuk umatnya teroka dan pelajari.

Hidup jauh di perantauan membuatkan aku banyak berfikir. Berfikir mengenai masalah orang sekeliling yang mengenepikan ilmu yang dimiliki hanya kerana 'CINTA". Aku terus berfikir bahawa terlalu berat memikul amanah ilmu yang dimiliki. Sukar untuk memelihara ilmu. Jika kita lalai, ia akan memakan diri sendiri. Benar, ilmu yang tidak diamalkan akan membinasakan diri sendiri.

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal (al-Hujurat : 13)

Persoalan cinta memang amat ketara dalam kalangan mahasiswa IPTA mahupun IPTS. Orang yang tidak memiliki pasangan dipandang serong. Mereka dipinggir dan dicemuh hanya kerana tidak memiliki kekasih hati. Seharusnya mereka yang dipandang pelik ini perlu berasa bangga kerana Allah masih memelihara hati mereka daripada dikotori dengan anasir nafsu yaang tidak pernah kenal erti jemu dalam mencemar kesucian hati setiap anak Adam.

Aku sedih melihat sahabat-sahabat dan adik-adik yang tewas dalam peperangan antara nafsu dengan iman di mana iman bisa kalah kerana kurangnya 'latihan ketenteraan'. Mungkin senjata iman lebih mantap. Akan tetapi, strategi yang digunakan iman tidak begitu tersusun dan sistematik jika hendak dibandingkan dengan strategi nafsu dan syaitan. Analogi apa yang aku ingin bawakan ini? Nah, senjata iman adalah ilmu. 'Latihan ketenteraan' pula adalah dengan menghidup dan memurnikan ilmu itu sendiri. Strateginya pula adalah dengan mengaplikasi ilmu yang dimiliki walau apa jua keadaan dan lokasi untuk menangkis segala macam anasir luar yanng mampu mengotori hati setiap Muslim. Sedangkan strategi nafsu dan syaitan itu teramatlah teliti dan terperinci. Salah satu strategi mereka adalah pesona wanita. Memetik sabda Rasulullah,

Wanita itu adalah aurat. Apabila mereka keluar, maka syaitan memperlihatkan keindahannya (Riwayat al-Tirmizi no. 1173)

Fitrah Allah menciptakan wanita itu indah dan mempesonakan. Tapi terpulang pada iman untuk menafikan godaan nafsu dan bisikan syaitan. Mengapa aku asyik mengenengahkan persoalan ilmu? Kerana majority orang di sekeliling aku memiliki ilmu yang tidak kurang hebatnya. Sebut sahaja ilmu agama, ada orang yang pakar mengenainya. Sebut sahaja ilmu Matematik, ada orang yang pakar mengenainya. Aku berdamping dengan ilmuan dari pelbagai bidang dan aku mengagumi kehebatan Allah menciptakan manusia dengan pelbagai kelebihan dan kekurangan.

Benar, dijadikan manusia itu berbangsa-bangsa untuk saling kenal-mengenali. Tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita menghalalkan apa yang jelas haramnya di sisi Allah. Matlamat tetap tidak menghalalkan cara.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti."
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2281.

Mustahil dengan berpacaran, kita mampu menafikan segala macam bentuk zina yang sebelum ini kita hanya memahami bahawa zina itu adalah dengan menceroboh kemaluan. Mana mungkin pasangan yang berpacaran tidak berhubung sesama mereka dan meluahkan isi hati dengan nada yang mendayu-dayu dan menangkap jiwa. Mana mungkin pasangan yang berpacaran itu tidak memandang sesama mereka. Bila tidak ketemuan, hati mula memberontak. Hati mula merindui si dia. Sudah. Sudah tewas anak Adam dengan pentas dunia yang penuh dengan tipu daya.

Semakin hari, aku menyedari virus berpacaran ini semakin menjadi-jadi. Aku perlu mencari vaksin yang sesuai untuk membunuh wabak ini dari terus menular hingga memusnahkan seluruh komuniti yang berhampiran dengan mereka. Aku yakin. Aku berlapang dada. Aku redha. Aku bersyukur. Aku menerima siapa sahaja yang bakal menjadi permaisuru hidupku. Menjadi tulang belakang untuk aku terus berjuang menegakkan agama Allah. Aku yakin bahawa ketentuan Allah adalah yang terbaik. Biar waktu menjawab segala persoalan hati.

Buat mereka yang sudah jauh terlajak, berundurlah. Selagi matahari tidak terbit di sebelah barat, anda memiliki masa untuk segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Jika anda yakin dia permata hidupmu, jaga lah ia elok-elok. Nikah dengan kadar segera jika anda terlalu menyintai si dia. Aku yakin, yang halal itu lebih bermakna daripada yang haram. Bagi mereka yang belum pernah merasai 'nikmat' berpacaran, aku nasihatkan agar engkau memilih untuk membiarkan hati engkau suci bersih tanpa dinoda sebarang anasir luar. Bila hati suci bersih ibarat kain putih, segala keputusan yang lahir dari hati adalah benar dan tepat. Bila hati kita suci bersih, ia mempengaruhi jasad agar pekertinya turut elok dan indah. Bila sudah mengamalkan pekerti Rasulullah, yakin lah anda akan bertemu seseorang yang tidak kurang bersih hatinya seperti kamu. Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik.

Atas dasar kasih dan sayang kerana Allah, aku memilih jalan berliku supaya aku dapat melihat generasi akan datang kuat rohaninya dan berpeluang melihat Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang digeruni pihak lawan mahupun kawan.

Membangun bersama Islam!

1 comments:

EEFFAH said...

Iman itu bertambah dengan amal dan berkurang dengan maksiat. Sebagaimana kita sedia maklum, dengan satu maksiat kita lakukan, maka akan timbullah satu titik hitam di hati kita. Lagi banyak maksiat yang kita lakukan, maka semakin hitamlah hati kita dan makin sukar untuk kita membersihkannya. Samalah perumpamaan ini dengan membersihkan bontot kuali yang telah hitam setelah dibakar lama, dengan kuali yang baru digunakan…Mana lebih sukar untuk dikilatkan? Anda sendiri tahu jawapannya…


” Katakanlah: wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya( kecuali syirik).Sungguh Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

(Az-Zumar:53)

lebih kpd utk ingatan diri sendiri dan perkongsian
kerana sesungguhnya jari yang menaip ini lebih dekat daripada mata kamu yang membacanya...

jazakallahu khairan kathir..

 
Awan Nusantara | © 2011 Design by DheTemplate.com and Theme 2 Blog

Find more free Blogger templates at DheTemplate.com - Daily Updates Free Blogger Templates