14 December 2012

Berkata Benar

0 comments
Bohong. Tipu. Itu semua perkara keji. Tabiat yang paling buruk dalam pandangan Islam. Bercakap benar, itu satu tuntutan.

Berkata Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, dari sejak kecil aku telah membiasakan diriku berkata benar. Aku berangkat dari Mekah menuju ke Baghdad kerana menuntut ilmu, maka ibuku memberiku 40 dinar untuk perbelanjaan sara hidupku. Ibuku berpesan agar aku senantiasa berkata benar.

Apabila aku tiba di perkampungan kaum Hamdan, kami telah dijebak oleh sekumpulan perompak yang merampas semua harta benda dalam kafilah kami. Seorang dari perompak-perompak itu datang kepadaku seraya bertanya, Engkau punya apa? Jawabku, 40 dinar!

Perompak itu menyangka aku ingin perli kepadanya, dia pun tidak mengapa-apakan aku. Kemudian datang pula perompak lain seraya menanyaiku lagi, Engkau punya apa? Maka aku pun memberitahunya apa yang aku miliki. Dia merasa hairan, lalu membawaku kepada ketua perompak itu, lalu ketua perompak itu pun bertanya kepadaku. Aku memberitahunya sama seperti lain-lain.

Takjub semua perompak itu atas kebenaranku. Lalu ketua perompak itu pula bertanya lagi, apa yang menyebabkan engkau berkata benar? Jawabku, ibuku telah berpesan kepadaku supaya berkata benar, dan aku telah berjanji untuk mematuhi pesanannya, dan aku takut untuk mengkhianati janjiku itu.

Dengan tiba-tiba perasaan gerun menyelubungi ketua perompak, lalu dia berteriak-teriak dan mengoyakkan pakaiannya. Dia berkata, Ya Allah! Engkau takut hendak mengkhianati janjimu kepada ibumu, sedang aku tidak takut untuk mengkhianati janjiku kepada Tuhan?

Ketua perompak itu dengan tiba-tiba memerintahkan supaya mengembalikan semua barang rampasan kafilah itu kepada pemilik-pemiliknya. Dia juga berkata, sekarang juga aku bertaubat di hadapanmu! Maka berkata pengikut-pengikutnya, Engkau ketua kami di masa kita sama-sama merompak. Dan sekarang engkau juga ketua kami apabila kami semua bertaubat. Kumpulan perompak itu semuanya telah bertaubat dengan berkat berkata benar itu.

Maha Suci Allah. Senjata berbisa bagi menjalankan dakwah adalah dengan berakhlak mulia.

Dakwah, its all about creativity. :)


0 comments:

 
Awan Nusantara | © 2011 Design by DheTemplate.com and Theme 2 Blog

Find more free Blogger templates at DheTemplate.com - Daily Updates Free Blogger Templates