09 December 2010

Hidup Berjiran

0 comments
Jiran itu boleh kita katakan orang yang tinggal serumah dengan kita, orang yang berdekatan dengan rumah kita, orang yang tinggal dalam lingkungan 40 buah rumah dari pelbagai sudut dan orang yang tinggal senegeri dengan kita. Rupanya, senegeri pun dikira jiran juga. Betapa indah ajaran Islam itu sendiri yang mementingkan kasih sayang sesama manusia. Hatta berlainan bangsa, agama dan ideologi.

Memetik sebuah hadis daripada Abu Hurairah, pernah dikatakan kepada Rasulullah SAW bahawa ada seorang perempuan yang solat pada waktu malam, dan berpuasa pada waktu siang. Akan tetapi, lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya. Rasulullah pun berkata, tidak ada kebaikan padanya. Dia dalam neraka.

Tetapi hari ini, terutamanya di bandar, agak susah melihat suasana hidup berjiran dipraktik dalam kehidupan seharian. Mana taknya, awal pagi sudah keluar mencari rezeki dan pulang pada lewat malam. Tambahan, ilmu agama yang cetek menyebabkan mereka tidak begitu mengambil berat mengenai orang sebelah rumah mahupun orang sekeliling. Islam tidak mengajar umatnya mengamalkan sikap keakuan, terutamanya dalam hidup bermasyarakat.

Islam menyuruh kita supaya lebih mengutamakan urusan rakan daripada urusan kita sendiri. Ia selari dengan falsafah ilmu tasauf itu sendiri iaitu menyucikan hati. Rasulullah pernah bersabda,

Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan keperluan saudaranya, lebih baik baginya daripada iktikaf di masjidku ini selama sebulan.

Said Ibnu al-Ash pula berkata, "Aku letak tiga perkara sebagai tanggungjawabku kepada seseorang, apabila dia datang kepadaku maka kuucapkan 'marhaban' (sila duduk dengan senang) dan jangan cemas atas kehadirannya. Apabila kawanku bercakap maka kuhadapkan sepenuh perhatian padanya, kehadirannya diberikan tempat duduk yang selesa."

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia muliakan jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia muliakan tetamunya. ~Riwayat Bukhari dan Muslim

Kita dapat lihat bahawa memuliakan jiran termasuk dalam perkara yang menyempurnakan iman. Memuliakan jiran menunjukkan ketinggian pekerti orang Islam. Melalui amalan mulia ini, secara tidak langsung jiran yang bukan beragama Islam akan terpesona melihat ajaran Islam yang syumul, hatta dari aspek bersuci, sehingga aspek pemerintahan.

Lebih manis lagi jika kita memberi jiran sedikit makanan yang telah kita masak, agar mereka ia dapat mengerat ukhuwwah serta menambah kasih sayang sesama jiran. Lebihkan sedikit, agar ia memudahkan urusan kita di akhirat kelak. Namun begitu, pemberian ini tidak terbatas kepada jiran yang beragama Islam sahaja. Orang bukan Islam juga memiliki hak sebagai jirannya.

Rasulullah telah berkata kepada Umar bin al-'As yang kebetulan sedang menyembelih kambingnya, adakah kamu hadiahkan kepada jiran kita orang Yahudi itu?

Jiran....orang yang paling dekat dengan kita. Tempat kita meminta pertolongan dan tempat untuk kita berkongsi hobi, minat juga ilmu.

0 comments:

 
Awan Nusantara | © 2011 Design by DheTemplate.com and Theme 2 Blog

Find more free Blogger templates at DheTemplate.com - Daily Updates Free Blogger Templates