05 February 2011

Air Memancut dari Batu

1 comments
Dikisahkan bahawa Ibrahim bin Adham pernah berjalan melalui tempat seorang pengembala kambing. Perjalanan yang jauh menyebabkan dia berasa sangat dahaga dan ingin mendapatkan minuman daripada si pengembala.

"Wahai tuan, adakah engkau mempunyai sedikit minuman? Tidak kira air atau susu," Kata Ibrahim. "Ya, ada," Jawab si pengembala. "Aku minta sedikit." "Minuman mana yang engkau suka. Air ataupun susu?" Ibrahim menjawab, air sajalah.

Si pengembala tersebut memegang tongkatnya lalu menuju pada sebuah batu yang keras lagi retak dek kerana cuaca yang terlalu panas. Lalu dia memukul batu tersebut dengan tongkatnya dan ketika itu juga air memancut keluar dari batu tersebut.

"Sila minum, ini air daripada Allah." Ibrahim tidak menunggu lama lagi, dia terus minum dan ternyata air tersebut bukan sekadar air kosong yang tidak berperasa, malah rasanya lebih manis dari madu.

Ibrahim penuh kehairanan. Belum pernah dia minum air selazat itu. Lagi menghairankan, bagaimana air boleh memancut keluar dari batu keras lagi kering itu. Sedangkan, kalau digali perigi di tempat itu, belum tentu air akan keluar.

"Apa yang engkau hairankan, wahai Ibrahim?" Kata si pengembala tiba-tiba. "Janganlah engkau berasa hairan kerana sesungguhnya hamba itu jika mentaati Allah, dia akan dipatuhi dan disukai oleh semua makhluk."

Rupanya, si pengembala tersebut adalah seorang wali Allah yang mempunyai kekeramatan. Subhanallah..!

Inilah yang dipanggil karamah atau keramat. Ia merupakan kurniaan Allah kepada orang yang dikasihiNya berdasarkan amalan dan kebersihan hati orang-orang tersebut. Para Wali itu sangat takwa dan soleh kepada Allah. Mereka sendiri takut akan kedatangan Karamah itu kerana ia merupakan kurniaan yang sangat besar dan berat atas diri mereka.

Mereka takut dengan kurniaan Karamah, akan timbullah perasaan riak dan ujub dalam hati kerana kelebihan tersebut lain dari yang lain. Jika perasaan ini timbul, maka terhapuslah keikhlasan hati dan kuranglah darjat ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Menyedari hal sedemikian, biasanya mereka semakin tawadhuk dan tunduk kepada Allah seolah-olah dia senantiasa berhadapan dengan Allah sepanjang masa.

Ayuh, sucikan hati kita dari segala penyakit..!

1 comments:

dieba said...

perkongsian ilmu yg sgt baik....=)

 
Awan Nusantara | © 2011 Design by DheTemplate.com and Theme 2 Blog

Find more free Blogger templates at DheTemplate.com - Daily Updates Free Blogger Templates