11 February 2011

Iktibar dari surah al-Humazah

1 comments
1. Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pencela.
2. Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya.
3. Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya di dunia ini.
4. Tidak, sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam neraka al-Hutamah.
5. Dan sudahkah engkau tahu apa dia al-Hutamah?
6. Api Allah yang dinyalakan.
7. Yang naik menjulang ke hati.
8. Sesungguhnya api neraka itu di tutup rapat atas mereka.
9. Sedang mereka diikat pada tiang yang panjang (al-Humazah:1-9)

al-Humazah itu bermaksud seseorang mengumpat dan mencaci orang lain dengan perkataan, perbuatan atau isyarat.

Celaka, itulah yang paling sesuai diberikan kepada si pengumpat dan si pencaci. Siapa diri kita hendak membuka aib orang lain sedangkan diri kita pun tak sempurna mana. Kerana mulut, badan binasa. Benar. Kerana mengumpat, azab yang pedih menunggu kita di akhirat kelak.

Memetik sabda Rasulullah, 'Makhluk Allah yang paling hina ialah orang-orang yang membuat fitnah dan yang merosakkan hubungan di antara orang-orang baik dan mencari-cari kesalahan atau 'aib yang tidak bersalah.'

Kita dapat melihat perkaitan antara ayat pertama dan yang kedua dalam surah ini. Lazimnya, orang yang berharta akan memandang hina pada orang yang kurang berharta. Bukan semua, akan tetapi 'kebanyakan' dari mereka berperangai sedemikian. Perlu diingatkan, harta bukan segala-galanya. Harta memanjangkan angan-angan kepada si pemiliknya bahawa dengan harta, dia dapat mengecapi apa yang diimpikan sehingga sampai kepada satu tahap dia menganggap bahawa dengan hartanya, dia mampu hidup selama-lamanya di dunia ini.

Sedang Fudhail bin Iyadh berkata, tanda kecelakaan itu adalah kerasnya hati, mata yang tak menangis, sedikit perasaan malu, tamak dunia dan panjang angan-angan. Tamak dunia dan panjang angan-angan. Semua bermula dengan harta. Bila sudah memiliki harta setinggi gunung, maka dirasakan masih tidak mencukup kerana barakahnya hilang entah ke mana. Zakat tak pernah, apa lagi dengan sedekah.

Bagi mereka yang suka mencela orang lain, jadikan surah ini satu pedoman. Jangan hanya indah di bibir, tapi tak meresap dalam hati. Sebab itu hari ini, ramai orang hebat berkata-kata mengenai Islam, tapi amalnya entah ke mana. Cakap lebat, sebab nak nampak hebat. Sedang Allah hanya menerima perkataan seseorang yang disusuli dengan amalan. Maka benarlah kata Qatadah.

Api itu kan panas sifatnya. Tak takut ke..? Api tersebut akan membakar tubuh si pelaku maksiat termasuk hati, lalu diciptakan semula si pelaku maksiat tersebut lalu api neraka membakarnya semula. al-Hutamah itu adalah neraka yang tak dapat ditanggapi oleh akal. Ia disesuaikan dengan orang-orang yang ego, angkuh dengan kekayannya dan bersifat sombong terhadap orang lain, di mana ia akan menghancurkan semua benda yang dicampakkan ke dalamnya sampaikan tiada sisa-sisa yang tinggal lagi.

Khalid bin Abi 'Umran meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, 'Sesungguhnya api neraka membakar penghuninya sehinggalah sampai ke hati mereka sehinggalah habis kesemuanya. Kemudian apabila mereka dicipta semula api neraka kembali membakarnya' Itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT, Api Allah yang dinyalakan. Yang naik menjulang ke hati. (al-Humazah:6-7)



Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yaang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati. Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (al-Hujurat:12)





Rujukan : Tafsir al-Munir, Juz 'Amma, Dr. Wahbah al-Zuhaily.

1 comments:

fyza ajak said...

muhasabah diri , alhamdulillah :)

 
Awan Nusantara | © 2011 Design by DheTemplate.com and Theme 2 Blog

Find more free Blogger templates at DheTemplate.com - Daily Updates Free Blogger Templates