Jika cintakan seseorang, tidak mungkin ianya bermusim. Tidak mungkin sekejap cinta, sekejap pula lupanya. Seharusnya cinta kita terhadap Allah dan RasulNya, lebih dari segala-galanya. Tiap hari, makin sayang.
Daripada Anas bin Malik RA, daripada Rasulullah SAW bersabda, Tiga perkara, barangsiapa yang ada semuanya itu padanya nescaya ia akan mendapat kemanisan iman, adalah Allah SWT dan Rasul-Nya lebih dikasihi daripada lain dari keduanya. Dan bahawa ia kasih akan seseorang, tiada kasihnya itu melainkan kerana Allah, dan bahawa ia benci kembali kepada kufur sebagaimana ia benci bahawa ia akan dicampakkan ke dalam api.
Al-Hafiz ibn Hajar berkata, hadis ini menunjukkan supaya berakhlak dengan segala kemuliaan dan membuang daripada akhlak yang buruk. Sebahagian salaf berkata, jika kita beramal atas dasar rasa takut kepada Allah, terkadang ianya diubah dengan rasa mengharap. Sedangkan kalau beramal atas dasar kasih sayang kepada Allah, ia tidak akan dibatasi dengan kelemahan dan kendur semangat.
Ramai orang hari ini, kata cintakan Nabi Muhammad SAW, sedang perbuatannya jauh terpesong daripada sunnah Rasulullah. Menurut ahli hadis, sunnah bermaksud segala yang dipindahkan dari Nabi SAW baik merupakan perkataan, perbuatan, mahupun yang merupakan takrir, pengajaran, sifat kelakuan, sejarah hidup; sama ada yang demikian itu berlaku sebelum nabi diangkat menjadi Rasul, mahupun sesudahnya.
Ayuh muhasabah diri kita, sejauh mana sunnah yang telah kita ketahui dan amalkannya. Hari ini, ramai induvidu yang menghafal hadis Rasulullah SAW, sedang dia hanya menghafal, tanpa mengamalkannya. Sufyan al-Thauri berkata, tidak aku menerima hadis Rasulullah SAW melainkan aku beramal dengannya.
Terlalu banyak sunnah Rasulullah SAW kalau hendak dinyatakan. Baik dari hal qada hajat sehinggalah kepada pemerintahan Negara. Complete set lah kalau orang putih kata. Terlalu sempurna. Mengapa perlu mencari idola lain sedang Rasulullah SAW itu sudah cukup sempurna perkataannya, perbuatannya serta perlakuannya.
لقد تركت فيكم امرين لن تضلوا ما إن تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسوله
Sesuhngguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulnya~Riwayat Malik
Benarkan bait-bait cinta anda kepada Rasulullah dengan mengamalkan segala sunnahnya.
15 February 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment