Terdapat dua jenis amal iaitu amal yang ikhlas dan amal yang tidak ikhlas. Pada zahirnya, kedua-duanya kelihatan sama. Tetapi pada hakikatnya, ia jauh berbeza. Sebagai contoh, dalam solat berjemaah. Semua orang mengerjakan solat. Semua orang rukuk. Semua orang sujud. Tetapi, tidak semua mereka beramal kerana Allah. Ada juga yang hanya ingin dilihat hebat pada pandangan ahli jemaah lain.
Imam Nawawi mengklasifikasikan amal kepada tiga bahagian. Pertama, amal yang dikerjakan kerana takut akan Allah. Amal ini dinamakan ibadah hamba. Kedua, amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga atau pahala. Amal ini dinamakan ibadah saudagar. Ketiga, amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan kerana melaksanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalannya diterima atau sebaliknya. Amal ini dinamakan ibadah orang yang merdeka.
~Perkara yang merosakkan amal~
Syaitan tidak pernah kenal erti putus asa membiarkan anak Adam dari terus tunduk dan patuh kepada Allah. Bila mana seseorang itu ingin melakukan kebaikan, dia datang memujuk rayu supaya kebaikan itu ditinggalkan dan ditukar dengan kejahatan. Bila seseorang itu berjaya melakukan amal soleh, dia datang membisikkan ke telinga manusia agar amal solehnya ditunjuk kepada orang lain.
Saidina Umur pernah bertanya kepada Muaz bin Jabal yang sedang menangis. Kenapa engkau menangis? Jawabnya, kerana aku telah dengar bahawa Rasulullah SAW bersabda, 'Sedikit sahaja riak itu adalah syirik'. Nah, betapa riak itu mengotori hati sanubari kita serta merosakkan segala amalan yang dilakukan. Pada zahirnya, amalan itu kelihatan terlalu sempurna. Dek kerana penangan perasaan riak, ia bertukar menjadi bahana.
Yang amat ku takuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil (halus). Kemudian ditanya mengenainya, lalu ia berkata, itulah riak (riwayat Ahmad)
Fudhail bin Iyadh juga berkata, meninggalkan amal kerana manusia adalah riak. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu adalah Allah menyelamatkan engkau dari keduanya.
Ayuh, kita berusaha mencapai kedudukan ikhlas dalam beramal. Mujahadah itu perlu bagi memastikan setiap amalan diterima. Mujahadah melawan syaitan. Mujahadah melawan nafsu. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang ikhlas.
01 December 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment