Khutbah merupakan medium bagi menyampaikan pelbagai jenis maklumat kepada para jemaah yang hadir. Khutbah seharusnya memainkan peranan yang teramat penting bagi menyalurkan mesej Islam, baik dari segi agama, ekonomi, sosial, masalah pendidikan anak-anak, politik mahupun pentadbiran negara. Malangnya, khutbah pada hari ini agak tersekat dengan langkah jabatan agama menyeragamkan khutbah. Ia seolah-olah mengongkong para khatib untuk menambah apa-apa isi khutbah.
Seharusnya, khutbah yang disampaikan hendaklah ringkas dan padat. Sunnah Rasulullah meringkaskan khutbah. Khutbah yang ringkas dan padat akan membuatkan para jemaah lebih fokus mendengar dan tidak memubuat mereka mengantuk. Sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya panjang solat dan pendeknya khutbah adalah tanda kefaqihan seseorang. Maka panjangkanlah solat dan ringkaskanlah khutbah~Riwayat Muslim
Panjang solat tidaklah bermaksud membaca satu surah sampai tiga hingga empat muka surat. Cukuplah sekadar panjang sedikit daripada khutbah. Mengikut riwayat hadis, Rasulullah SAW membaca surah al-Jumu'ah dan surah al-Munafiqun pada solat Jumaat. Ada juga riwayat mengatakan bahawa Rasulullah SAW membaca surah al-A'la dan surah al-Ghashiyah.
Seterusnya, khatib hendaklah berkhutbah, bukan sekadar membaca khutbah. Apa yang terjadi hari ini adalah para khatib hanya membaca teks khutbah. Lantas, khatib tidak berpeluang memainkan 'eye contact' dengan para jemaah.
Suara juga perlu lantang. Rasulullah ketika menyampaikan khutbah, matanya kelihatan merah, suaranya lantang dan semangatnya menjulang-julang. Baginda bagaikan panglima perang yang sedang memberi peringatan kepada tenteranya.
Jabir bin Abdillah berkata, “Apabila Nabi SAW berkhutbah, kedua matanya memerah, suaranya meninggi dan semangatnya memuncak. Beliau bagaikan panglima perang yang sedang mengingatkan pasukannya." (HR. Muslim no.867)
Imam an-Nawawi berkata, hadis tersebut menunjukkan bahawa para khatib hendaklah bersungguh-sungguh ketika berkhutbah, tinggikan suara, tegaskan perkataan dan hendaklah sesuai dengan tema ancaman yang sedang dibicarakan. Mungkin semangat Rasulullah SAW memuncak ketika mengingatkan sesuatu urusan yang sangat penting atau perkara besar.
Selain itu, isi khutbah hendaklah sesuai dengan masyarakat setempat. Jika masyarakat tersebut majoritinya petani, tidak mungkin khutbahnya mengenai perindustrian. Kaitkan pertanian dengan al-Quran. Maksimumkan penggunaan ayat al-Quran dalam khutbah. Dengan cara ini, para jemaah berpeluang memahami isi kandungan ayat al-Quran.
Boleh juga gunakan bantuan alat moden seperti persembahan powerpoint. Telinga mendengar, mata melihat isi ringkas kandungan khutbah. Dengan cari ini, masalah mengantuk dapat dikurangkan. Jika terlalu mengantuk, ubahlah tempat duduk. Sabda Rasulullah SAW:
Apabila seseorang kamu rasa mengantuk dalam masjid pada hari Jumaat, maka berubahlah dari tempat duduknya kepada tempat yang lain~Riwayat Abu Daud
Semoga khutbah yang disampaikan dapat mendidik jiwa agar lebih menyintai Allah dan Rasulnya lebih dari segalanya.
Sekadar hiasan penyejuk mata
17 December 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
nnti bleh la jd khatib pontian~~ bereh deh.. =)
Post a Comment