03 January 2011

Cintai Ilmu

1 comments
Ibn Ruslan dalam kitab Zubadnya telah menukilkan sebuah syair yang begitu menyentuh sanubari bagi mereka yang benar-benar menghayatinya. Syairnya yang bermaksud, "Setiap orang yang beramal tanpa ilmu, maka amalnya ditolak dan tidak diterima"

Saya yakin seluruh individu yang memiliki akal yang waras memahami apa yang telah dinukilkan oleh Ibn Ruslan. Syairnya mudah, akan tetapi, ia amat 'membunuh' mereka yang benar-benar tergolong dalam golongan tersebut. Amal hanya ikut adat, bukan kerana ilmu. Amal hanya kerana 'ikut-ikut' orang sahaja, tanpa ada sebarang usaha untuk maju kehadapan memahami dan menghayati setiap amal yang dilakukan.

Ilmu sahabat setia yang senantiasa bersama kita, baik susah mahupun senang. Orang yang malas mencari ilmu ibarat lampu kehabisan minyak dan dia berada dalam kegelapan. Gelapnya itu membuatkan dia terpaksa meraba-raba dan berjalan dalam kesusuahan. Terlanggar sana, terlanggar sini. Hidupnya dalam ketakutan. Terpaksa berpanas dan terpaksa membiarkan diri digigit nyamuk. Dia hanya mengharapkan sinaran malap lampu lilin yang tidak tahan lama sifatnya. Ditiup, matilah api lilin tersebut. Betapa payah hidup dalam kegelapan.

al-Bukhari berkata bahawa Nabi SAW bersabda, "Barangsiapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan kepadanya, nescaya diberikan kefahaman (pengertian) agama kepadanya, dan hanya mendapat ilmu itu dengan cara belajar"

Syeikh al-Syanwani berkata, di sini berita gembira diberikan kepada orang yang belajar agama kerana hendak kebaikan daripada Allah bagi hamba tertentu baginya atas tuntutan Tafaqquh fi al-Din. Syeikh juga berkata, harus bagi manusia mempelajari ilmu daripada golongan 'arifin' dan tidak memadai hanya dengan mentelaah kitab tanpa belajar.

al-Bukhari berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang berjalan di satu jalan kerana menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan baginya jalan ke syurga"

Syeikh al-Syanwani berkata lagi, jalan yang zahir adalah jalan yang menyampaikan ke syurga atau dunia, sedang jalan maknawi adalah dengan diberi taufiq kepadanya untuk amalan soleh.

Mari kita hayati mutiara kata ulama'-ulama' terkemuka agar kita dapat mengambil kata-kata tersebut sebagai pedoman untuk kita terus maju ke hadapan, jauh meninggalkan orang-orang yang jahil lagi malas menuntut ilmu.

Sesiapa yang tidak sanggup menelan kepahitan menuntut ilmu, nescaya dia akan meneguk kejahilan sepanjang hayatnya (imam al-Syafie)

Sesiapa yang berlalu waktu mudanya tanpa menuntut ilmu, maka layaklah dilaksanakan solat jenazah ke atasnya (imam al-Syafie)

Ilmu khazanah yang tidak pernah kehabisan, kuncinya adalah bertanya (imam al-Ghazali)

Hilangnya ilmu dengan dua perkara: malu dan sombong (imam al-Ghazali)

Ya Allah ya Tuhan! Berikanlah kepadaku manfaat dengan ilmu yang Engkau ajarkan dan ajarkanlah aku ilmu yang memberikan manfaat kepadalu serta pertingkatkanlah ilmuku...Ameen..^_*

1 comments:

Khuzaimah said...

kadang-kadang kte rase putus asa nak blaja..
entry ni bg kesemangatan kebelajaan!
mabruk Alaik!

 
Awan Nusantara | © 2011 Design by DheTemplate.com and Theme 2 Blog

Find more free Blogger templates at DheTemplate.com - Daily Updates Free Blogger Templates