22 August 2011
Jom Dakwah!
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya~ali-Imran : 104
Syeikh Muhammad 'Abduh menyenaraikan beberapa syarat penting bagi seseorang untuk menyampaikan dakwah dengan berkesan.
Pertama, seseorang hendaklah memiliki pengetahuan yang sempurna. Dia mesti tahu benar-benar akan al-Quran, sunnah Rasulullah SAW, sejarah hidup Nabi, sejarah perjuangan para sahabat, terutamanya Khulafa' Ar-Rasyidin, kehidupan ulama salaf yang soleh dan syarat yang perlu ada dalam lapangan hukum. Dakwah adalah penerangan, sedang al-Quran dan sunnah terlebih dahulu perlu kepada penerangan.
Seterusnya, si pendakwah mesti mengetahui sasaran dakwah. Ukuran pendidikan, pengalaman, lingkungan umat, iklim-iklim negeri dan budi kebiasaan masyarakat. Sayid Rasyid Ridla mengemukakan contoh yang mudah mengenai hal ini, iaitu selepas Rasulullah wafat, timbul perselisihan faham antara kalangan sahabat tentang siapa yang layak menjadi khalifah selepas Rasulullah SAW. Selepas 2 hari berbincang, Abu Bakar as-Siddiq dipilih. Walaupun pada mulanya ditentang, akhirnya Abu Bakar diterima baik oleh semua golongan.
Abu Bakar merupakan individu yang paling mengerti kebiasaan tiap-tiap qabilah dan suku antara sekalian bangsa Arab. Tahu bukan sahaja menghafal nama-nama suku dan kaum bahkan mengetahui tabiat yang umum dan akhlak mereka. Dalam makna kata yang mudah, seorang pendakwah mesti mengetahui perbezaan antara orang Jawa, Bugis, Melayu, Banjar dan sebagainya.
Kemudian, seorang pendakwah hendaklah berpengetahuan tentang sumber dan pokok ilmu sejarah. Dengan yang demikian, dia dapat mengetahui sumber rosaknya akhlak sasaran dakwahnya. Secara automatik, dengan mudah dia dapat mengetahui asal usul bidaah yang sering dilakukan.
Si pendakwah juga mesti mengetahui ilmu bumi. Kalau hendak pergi ke sesuatu tempat, kita hendaklah mengetahui keadaan negeri yang ingin dilawati. Tahu mana letaknya sungai, mana letaknya gunung, tabiat serta cuaca sesuatu tempat tersebut. Sebab itu, fatwa Imam as-Syafie berubah setelah dia pindah dari Baghdad ke Mesir. Keadaan 2 negeri tersebut adalah berbeza, beza pula kebiasaan penduduknya kerana pengaruh sungai dan padang pasir, sehingga fatwa yang dikeluarkan di tempat pertama tidak boleh diguna di tempat kedua. Imam al-Syafie ada Qaul Qadim dan juga Qaul Jadid kerana keadaan di Iraq dan Mesir adalah berbeza sama sekali.
Ilmu jiwa juga harus dikuasai oleh individu yang menginginkan dakwah yang disampaikannya tepat mengenai sasaran. Ilmu jiwa juga adalah ilmu mengenai keperibadian. Belum tentu seorang profesor yang mengajar di universiti mampu menyampaikan seruan kepada orang kampung. Orang kampung berbeza dengan orang bandar. Beza! Mengajar orang kampung tak perlu terlalu detail sebagaimana mengajar mahasiswa di universiti. Saya yakin, seorang doktor mahupun professor, gagal menyampaikan ilmu kepada orang kampung, kalau tak kena caranya.
Seterusnya, dia harus menguasai ilmu akhlak. Tahu mana baik, mana buruk. Mana yang terpuji, mana yang dikeji. Akhlak bukan semata-mata diilmukan. Akan tetapi, ia perlu diamalkan dan diperlihat contohnya. Ambil contoh akhlak Rasulullah, orang-orang soleh yang terdahulu. Banyak dakwah yang berjaya dilakukan hasil daripada akhlak baik yang diamalkan.
Ilmu masyarakat jangan pula diabaikan. Kaji sesebuah masyarakat, sebab-sebab kemajuan, sebab-sebab kemunduran. Ia berjalan seiring sejalan dengan ilmu sejarah dan ilmu akhlak. Pelopor kepada ilmu ini adalah Ibnu Khaldun dan pembangunnya di Barat adalah August Compte.
Selain itu, ilmu politik juga harus diperkukuh. Ia penting bagi seseorang mengetahui akan zaman apa yang sedang dia hidup. Tahu susunan negeri, tempat yang hendak disampaikan dakwah. Sebagai contoh, Mubaligh bertahun-tahun lamanya di Mekah, pulang ke Malaysia dan dia samakan Mekah dengan Malaysia, sudah tentu dia akan gagal.
Pendakwah juga harus mengetahui bahasa negeri yang ingin dia sampaikan dakwah. Orang yang alim, akan tetapi tidak tahu berbahasa, dia ibarat orang bisu. Ingat! Bahasa Arab itu bahasa yang penting. Walaupun tak dapat menguasai Bahasa Arab dengan sempurna, tapi sikit-sikit tu, kira ok lah kan. Yang penting, ada semangat nak belajar. Pepatah Arab ada menyebut, Barangsiapa yang tahu bahasa sesuatu kaum, nescaya dia terlepas dari tipu daya kaum tersebut.
Dia juga mesti tahu serba sedikit mengenai kesenian dan kebudayaan masyarakat sasaran dakwahnya. Oleh yang demikian, dia tidak akan terkial-kial menjawab sebarang persoalan mengenai kesenian yang berteraskan syariat dan yang sebaliknya.
Seterusnya, pendakwah juga hendaklah mengetahui pokok-pokok perbezaan agama-agama yang ada. Kristian, Yahudi, Hindu dan sebagainya. Tahu perbezaan antara mazhab, agar dia tak menjatuhkan hukum dengan melulu. Umat Islam bukan hanya berkawan dengan semazhab sahaja.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment